Di awal 90-an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti & di politeknik malah beberapa pengacara televisyen & radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah.
Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau di mana-mana sahaja yang mereka suka. Kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.
Tudung pula berwarna-warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang- kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Lepas tu macam nak terlondeh. Antara hendak tutup & hendak buka. Akhlak & tutur katanya kasar, malah adakalanya lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.
Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan & sebagainya. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan- jalan di taman bunga atau di tempat tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung diperingkat awal dahulu.
Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.
Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.
Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai sebilangan orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun melainkan mereka yang bertudung betul-betul mengikut etika pemakaian tudung sebenar serta menjaga segala tingkah lakunya sebagai seorang Muslimah.
Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong maka ianya tiada nilai di sisi Allah.
Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat untuk berbohong dengan Allah walaupun di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar & apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar & didedahkan oleh Allah di padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat : " Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?" Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?" Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."
Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan menimbulkan fitnah. Dikala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.
Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat & peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerana pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan & turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya.
Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah.
Apabila seseorang muslimat yang memakai tudung, adakah ianya betul-betul tudung yang menepati ciri-ciri sepertimana yang telah difariskan oleh Allah di dalam al-Quran? Konsep bertudung yang sebenar boleh dilihat di dalam ayat:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آَبَائِهِنَّ أَوْ آَبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [ An-Nur:31]
Juga pada ayat:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
"Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri- isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman,supaya mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka.Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Al-Ahzab:59)
Jelas pada kita bagaimana kriteria-kriteria bertudung atau lebih tepat lagi berjilbab yang sebenar. Ini bermakna, spesis-spesis tudung yang lain daripada ayat yang telah ditetapkan oleh Allah, semuanya adalah ditolak oleh Islam. Jika kita mahu bertudung, mengapa tidak sahaja kita mengikut terus cara bertudung sebenar? Ini tidak, paka tudung, tapi singkat, jarang seolah-oleh mahu tunjuk rambut yang kononnya cantik, tunjuk kita pakai skaf jenama apa (mungkin nak promote kot).
Yang lebih dahsyat, simptom jahil bertudung ini turut sama melanda mereka di kalangan golongan yang terpelajar samada berstatus Dr, Prof, Tan Sri . Seolah-oleh makin tinggi pangkat makin boleh bagi mereka untuk pakai 'tudung adik' sehingga ada yang sampai tak pakai terus. Jika di tempat pengajian penulis, ada juga spesis seperti ini (bukan semua) masih belum pupus malah makin membiak. Sewaktu Tahun 1 memakai tudung labuh. Makin akhir, makin jadi senior, tudung menjadi semakin mengecil. Itu bagi mereka yang ambil kos Pengajian Islam. Jika kos yang bukan jurusan agama, tidaklah terlalu pelik jika ada seperti ini.
Di sini penulis mencabar spesis-spesis ini terutamanya yang belajar agama supaya mengemukakan hujjah di atas alasan apa antunna tidak memakai tudung seperti mana yang telah ditetapkan oleh syara’ ?
http://haidaralkarar.blogspot.com/2009/07/apa-ertinya-bertudung.html
p/s artikel untuk peringatan khasnya untuk diri saya sendiri.