Sunday, 15 March, 2009 03:30
From:
"Sayyed Mohd Fadlie ben Yahya"
View contact details
To:
"SHARIFAH RAUDAH"
Sempena kelahiran Rasulullah saw saya merayu tuan-tuan dengan sepenuh hati
supaya memerhatikan ahlul bait (kaum keluarga Rasulullah saw). Inilah
hadiah kita untuk Rasulullah saw sempena kelahiran baginda. Kerana
Rasulullah saw tidak pernah meminta upah dalam menyebarkan agama suci ini.
Dalil untuk merujuk warisan ahlul bait ini adalah berdasarkan hadis yang
dikutip oleh at-Tirmidzi dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi; ‘Nashr bin
Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu
al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad,
daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia
berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada
hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa.
Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah
meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh
kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab
Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor
3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.
Dalam memahami siapakah yang dimaksudkan dengan ahlul bait, kajian merujuk
kepada hadis dari kitab yang sama, ‘Qutaibah menceritakan kepada kami,
Muhammad bin Sulaiman al Ashbahani menceritakan kepada kami daripada Yahya
bin Ubaid, daripada ‘Atha’ bin Abu Rabah, daripada Umar bin AbuSalamah
– anak tiri nabi -, ia berkata: Ayat ini diturunkan kepada nabi,
‘Sesungguhnya Allah bermaksud untuk menghilangkan dosa darimu, hai ahlul
bait, dan membersihkanmu sebersih-bersihnya,’ (al-Ahzab: 33) tentang
keluarga beliau. Beliau kemudian memanggil Fatimah, Hasan dan Hussain, dan
menutupi mereka dengan pakaian. Sementara itu, Ali berada di belakang
beliau, dan beliau pun menutupinya dengan pakaian. Beliau kemudian berdoa,
‘Ya Allah, sesungguhnya mereka adalah keluargaku. Maka hilangkanlah dosa
daripada mereka, dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.’ Ummu Salamah
berkata, ‘(Apakah) Aku bersama mereka ya Nabi Allah.’ Rasulullah
menjawab, ‘Engkau tetap pada tempatmu, dan engkau tetap dalam
kebaikan.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3787, bab
sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.
Pemilihan ahlul bait sebagai sumber rujukan ini dapat dikira tepat
berdasarkan dua hadis di atas memandangkan terdapat hadis Rasulullah saw
yang menuntut sahabat baginda dan umat Islam berwaspada kepada
‘kesesatan’ yang terjadi dalam kalangan sahabat selepas kewafatan
beliau.
Hadis yang dimaksudkan ialah, ‘Daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya:
‘Pada suatu ketika Rasulullah saw berkhutbah memberi pengajaran kepada
kami. Sabda beliau, ‘Hai sekalian manusia! Kamu semuanya akan dikumpulkan
ke hadapan Allah tanpa alas kaki, tanpa pakaian, dan tanpa dikhitan.
(Bacalah firman Allah): ‘Seperti Kami ciptakan pada awal ciptaan,
begitulah Kami kembalikan dia, itulah janji Kami yang pasti Kami tepati.’
(al Anbiya: 104). Ketahuilah! Makhluk yang mula-mula diberi pakaian pada
hari kiamat adalah Ibrahim alaihissalam. Dan ketahuilah, bahawa beberapa
umatku akan dihadapkan, lalu mereka ditarik ke kiri. Kataku, ‘Wahai
Tuhanku! Mereka itu adalah sahabat-sahabatku!’ Lalu dijawab oleh Allah,
‘Engkau tidak tahu apa-apa yang mereka perbuat sepeninggalanmu.’ Maka
kujawab seperti jawapan hamba Allah yang saleh (Nabi Isa a.s), ‘Aku
menjadi saksi bagi mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah
aku wafat, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau Maha Menyaksikan
segala-galanya. Jika Engkau siksa mereka sesungguhnya mereka adalah
hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (al Maidah: 117-118). Lalu dikatakan
kepadaku, ‘Mereka telah murtad semenjak engkau tinggalkan.’ Lihat Sahih
Muslim, hadis nombor 2440, bab orang-orang murtad.
Hadis lain yang dapat dirujuk ialah, ‘Daripada Uqbah bin Amir r.a
katanya: Nabi saw pernah bersabda mengenai para korban perang Uhud. Beliau
naik ke mimbar seolah-olah memberi amanat kepada yang masih hidup dan yang
telah syahid. Sabda beliau, ‘Aku mendahului kalian ke telaga. Lebar
telaga itu sejauh antara Ailah ke Juhfah. Aku tidak menyangsikan bahawa
kamu akan kembali musyrik sepeninggalku. Tetapi yang aku takutkan ialah
kamu terpengaruh oleh dunia. Kemudian kamu berbunuh-bunuhan, dan akhirnya
kalian musnah seperti kemusnahan umat yang sebelum kalian.’ kata Uqbah,
‘Itulah yang terakhir kali aku melihat Rasulullah saw berkhutbah di
mimbar.’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2133, bab telaga Rasulullah.
Hadis ini turut diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dengan versi lain. Lihat
Sahih Bukhari hadis nombor 1771, bab syurga dan neraka dan hadis nombor
1856, bab mimpi.
Oleh kerana itu saya berpandangan adalah lebih baik merujuk tradisi ahlul
bait untuk mendapatkan sumber hukum selepas al-Quran, dan hadis Rasulullah
saw. Saya akan mendatangkan tiga bukti dari sahih Bukhari dan Muslim bahawa
belum tentu selamat untuk merujuk selain ahlul bait. Sekiranya kita hanya
merujuk sahabat Nabi Muhammad, ternyata sahabat-sahabat telah banyak
berubah selepas kewafatan Rasulullah saw, ada yang terlupa atau tidak tahu
‘urusan’ yang paling mudah, dan ada yang memang merubah hukum tanpa
rasa bersalah. Malah ketika hidup Rasulullah saw sendiri, terdapat sahabat
yang tidak menghormati Rasulullah saw. Buktinya terdapat dalam Sahih Muslim
sendiri.
1. Sahabat biadab, dan kurang ajar meninggalkan
Nabi Muhammad ketika baginda sedang memberi khutbah Jumaat di atas mimbar
sehingga yang tinggal hanyalah dua belas orang:
Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya: ‘Pada suatu ketika Nabi saw
sedang berdiri mengucapkan khutbah. Sekonyong-konyong tiba satu kafilah
dari Syam; maka jamaah berlarian menyambut kedatangan kafilah itu sehingga
yang tinggal di masjid hanya dua belas orang saja lagi. Kerana itu maka
turunlah ayat: ‘wa idz ra-au tijaratan au lahwanin fadhdhu ilaiha wa
tarakuka qaima’ (ayat 11 surah al Jumuah iaitu: Dan apabila mereka
melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya, dan
mereka tinggalkan kamu berdiri sedang berkhutbah.) Lihat Sahih Muslim hadis
nombor 817, bab turunnya ayat sebelas surah al Jumu’ah.
2. Sahabat merubah hukum:
Daripada Abu Sa’id al Khudri r.a katanya: ‘Pada masa Rasulullah masih
hidup, kami membayar zakat fitrah untuk setiap orang, baik anak kecil
mahupun dewasa, merdeka mahupun hamba, iaitu satu gantang makanan berupa
keju, atau gandum, atau kurma, atau anggur kering. Pada masa pemerintahan
Mua’wiyah bin Abu Sufyan, dia berpidato di hadapan jemaah haji atau
‘umrah, katanya antara lain: ‘Dua mud gandum negeri Syam sama dengan
segantang kurma’. Kerana pidatonya itu maka orang banya membayar zakat
fitrahnya sepert itu. Kata Abu Sa’id, “Tetapi aku tetap saja membayar
seperti apa yang telah kulakukan sejak zaman Nabi sampai akhir hayatku.”
Lihat Sahih Muslim hadis nombor 938, bab waktu membayar zakat fithrah.
Lagi perubahan hukum:
Daripada Ibnu Thawus r.a, daripada bapanya, katanya Abu Shahba’ bertanya
kepada Ibnu ‘Abbas r.a, ‘Tahukah anda bahawa talak tiga yang diucapkan
sekaligus, pada masa Rasulullah saw dihukumkan hanya jatuh satu kali,
begitu pula pada masa pemerintahan Abu Bakar. Kemudian pada masa
pemerintahan ‘Umar dinyatakan jatuh tiga kali?’ Jawab ‘Ibnu Abbas
r.a: ‘Ya, benar begitu!’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 1420, bab
Talak Tiga.
3. Ada sahabat mudah lupa atau memang tidak
tahu:
Daripada Ubaidillah bin Abdullah r.a katanya ‘Umar bin Khattab r.a pernah
bertanya kepada Abu Waqid al Laitsi tentang bacaan yang dibaca Rasulullah
saw dalam solat idul adha dan idul fitri. Jawab Abu Waqid, ‘Beliau pernah
membaca dalam kedua solat eid itu surah Qaf dan surah al Qamar.’ Lihat
Sahih Muslim hadis nombor 839, bab surah (ayat) yang dibaca dalam solat
eid.
Terdapat juga sahabat yang bermulut celupar terhadap Rasulullah
saw:
Daripada ‘Aisyah r.a katanya: ‘Abu Bakar datang ke rumahku dan ketika
itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang
pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah
gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar, ‘Kenapa sampai
ada suling setan di rumah Rasulullah saw?’ Hari itu adalah hari eid. Maka
bersabda Rasulullah saw, ‘Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya.
Dan hari ini adalah hari raya kita.’ Lihat Sahih Muslim hadis nombor 840
bab boleh bergembira ria.
Sekiranya saya menziarahi Rasulullah saw saya tidak akan tergamak
mengucapkan kata-kata di atas, seakan menuduh Rasulullah saw jahil, tidak
tahu sambil mengaitkan isi rumah baginda dengan syaitan.
Hal-hal di atas mungkin sahaja berlaku kerana tatkala Nabi
Muhammad sedang berkhutbah Jumaat pun ada sahabat yang keluar
berlari-larian mendapatkan barang dagangan, meninggalkan baginda
terkontang-kanting di atas mimbar. Mujur ada dua belas orang sahabat yang
setia.
Sekali lagi, adalah lebih baik merujuk ahlul bait dalam persoalan apa pun
di dunia hari ini. Sumber seperti qiyas, istihsan (memerhatikan pelbagai
hukum yang ada jika terdapat titik persamaan lalu memilih yang paling dekat
dengan kebenaran dan keadilan berdasarkan akal dan perasaan), istislah
(mendahulukan satu kemaslahatan atas kemaslahatan yang lain) dan ta’awul
(iaitu meskipun hukum ditemui dalam al-Quran atau sunnah tetapi jika ada
sesuatu keadaan dan pertimbangan, kita dibenarkan berpaling dari apa yang
disarankan nas lalu mendahulukan ijtihad berdasarkan pendapat) tidak dapat
menandingi kekuatan dan kebenaran merujuk al-Quran, Rasulullah saw dan
ahlul bait seperti yang telah saya buktikan di atas.
Secara dasarnya seseorang muslim tidak boleh mencipta hukum syariat
sendiri. Allah berfirman pada ayat 1 surah al-Hujurat: “Hai orang-orang
yang beriman, janganlah kalian mendahului Allah dan Rasul-Nya (dalam
masalah syariat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Akhir sekali, sempena kelahiran Rasulullah saw marilah kita berselawat
untuk baginda dan ahli keluarga baginda. Dalil untuk berselawat kepada ahli
keluarga baginda ini datang dari Sahih Bukhari sendiri:
Daripada Abu Humaid Assa’idi r.a: Sahabat-sahabat bertanya: ‘Hai
Rasulullah! Bagaimanakah caranya kami selawat kepada tuan?’ Rasulullah
saw bersabda : ‘Bacalah yang ertinya: ‘Wahai Tuhan! Berilah rahmat atas
Muhammad, keluarganya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan
rahmat atas keluarga Ibrahim. Berilah keberkatan atas Muhammad, keluarganya
dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada
keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.’
Lihat Sahih Bukhari, hadis nombor 1476, dan 1477, bab Nabi Ibrahim dan
Ismail.

No comments:
Post a Comment
salam. thanks 4 ur comments..